MENU
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI KDPB SULTAN PAHANG & KDPB TENGKU AMPUAN PAHANG BERSAMA-SAMA RAKYAT
 
13 April 2024 (Sabtu) – Sekitar Majlis Sambutan Hari Raya Bersama-sama Rakyat di Temerloh, Pahang pada 10 April 2024 bersamaan 1 Syawal 1445H. Seramai 10,000 rakyat khususnya penduduk Temerloh dari pelbagai kaum membanjiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KDPB Sultan Pahang & KDPB Tengku Ampuan Pahang bersama-sama rakyat di Lurah Semantan, Temerloh.
 
Terdahulu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat jelata di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Temerloh. Sejurus selesai menunaikan solat, program diteruskan dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lurah Semantan, di Temerloh.
 
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menerima kunjungan tetamu yang hadir pada sambutan yang bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.
 
Turut mengiringi baginda berdua ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed dan barisan Exco kerajaan Pahang dan ketua-ketua jabatan.
 
Orang ramai turut hadir mengambil kesempatan mengabadikan kenangan bersama keluarga Diraja Pahang. Pelbagai hidangan disediakan seperti laksa, ketupat, nasi minyak, rendang ayam dan daging, serta sate disediakan kepada tetamu.
 
Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat serta keberkatan ke atas pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Daulat Tuanku.
 
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA