TINDAKAN VANDALISME : PERBUATAN KEJI YANG MEROSAKKAN HARTA AWAM
3 Disember 2025 (Rabu) - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memandang serius insiden vandalisme yang berlaku malam tadi melibatkan kemudahan landskap dan pasu bunga di kawasan Esplanade 2, berhampiran tandas awam yang menjadi tumpuan pelancong serta pengunjung setempat. Perbuatan merosakkan harta awam ini bukan sahaja menjejaskan keindahan kawasan, malah mengganggu keselesaan pengguna dan membebankan kerajaan dengan kos baik pulih yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan lain.
MPT menegaskan bahawa kemudahan awam adalah aset bersama yang perlu dipelihara oleh semua. Tindakan vandalisme merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau pendakwaan terhadap individu terlibat.
MPT turut memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih dan penggantian tanaman sedang dijalankan oleh Jabatan Landskap bagi memulihkan kawasan yang terjejas.
Sehubungan itu, MPT menyeru orang ramai agar lebih berdisiplin, peka dan bertanggungjawab terhadap kemudahan yang disediakan, serta segera melaporkan sebarang kejadian vandalisme kepada pihak berkuasa tempatan. Tindakan cepat daripada masyarakat akan membantu memastikan gejala ini tidak berulang.
“Harta awam adalah milik semua. Sayangilah, peliharalah dan pertahankanlah ia demi kesejahteraan bersama.”





Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
Laman Web: http://www.mpt.gov.my/
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA
