MENU
SAMBUTAN AMBANG MERDEKA 2025 DI TEMERLOH MERIAH, SEMANGAT PATRIOTISME TERUS MENYALA
 
31 Ogos 2025 (Ahad) – Ribuan warga Temerloh membanjiri Esplanade 1, Temerloh bagi memeriahkan Program Sambutan Ambang Merdeka 2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula 29 hingga 30 Ogos 2025. Program ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dengan kerjasama Koperasi Kakitangan Majlis Perbandaran Temerloh Berhad (KOSITE) dan Lepak Lorong.
 
Acara yang bermula seawal jam 10.00 pagi sehingga tengah malam ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk seisi keluarga. Antara pengisian utama termasuk pertandingan Mobile Legends, permainan rakyat, Junior Barista Clinic, pertandingan mewarna dan mencanting batik untuk kanak-kanak, pertandingan pakaian kemerdekaan serta pertandingan lagu patriotik Jiwa Merdeka. Persembahan buskers dan akustik turut menghiburkan pengunjung sepanjang program, di samping kehadiran lebih 60 vendor yang menawarkan pelbagai jualan menarik.
 
Kemuncak acara ialah persembahan bunga api pada tepat jam 12.00 tengah malam sebagai simbolik kepada detik menyambut Hari Kebangsaan ke-68. Majlis turut diserikan dengan kehadiran para jemputan kehormat yang menyampaikan ucapan kemerdekaan, disusuli sesi penandatanganan backdrop rasmi sebagai tanda sokongan terhadap semangat patriotisme.
 
Menurut Majlis Perbandaran Temerloh, penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan suasana ambang kemerdekaan, tetapi juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat serta menggalakkan semangat perpaduan dan cintakan negara.
 
MPT turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk peserta, vendor, pengunjung dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga sambutan ini terus menjadi pemangkin kepada kesedaran rakyat untuk bersama-sama memelihara keharmonian, kemakmuran dan semangat patriotisme di bumi Temerloh.
 
a
a
a
 
a
a
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA