MENU
PESTA PELITA RAYA PAHANG 2026 – DAERAH TEMERLOH
 
✨ Cahaya Desa Menanti Kepulangan ✨
12 Mac 2026 (Khamis) - Malam tadi, Taman Kenangan Temerloh dipenuhi dengan suasana meriah apabila warga Temerloh bersama pengunjung luar hadir memeriahkan Pesta Pelita Raya Pahang 2026 Peringkat Daerah Temerloh yang menampilkan konsep “Cahaya Desa Menanti Kepulangan”, menggambarkan sentimen kepulangan masyarakat ke kampung halaman menjelang sambutan Syawal.
 
Program bermula sekitar 10.00 malam dengan ketibaan orang ramai diikuti tetamu jemputan serta panel juri Pesta Pelita Raya Pahang 2026 yang kemudiannya dibawa menyusuri perjalanan Kampung Pelita bagi menyaksikan sendiri pelbagai gimik dan persembahan yang disediakan oleh komuniti setempat.
 
Ribuan pengunjung turut hadir memeriahkan pesta berkenaan dengan mengenakan pakaian tradisional sekitar tahun 1980-an, sekali gus menghidupkan suasana nostalgia malam raya suatu ketika dahulu. Para pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai juadah tradisi Aidilfitri yang disediakan bersempena penganjuran pesta tersebut.
 
Sepanjang perjalanan tersebut, para juri dan pengunjung dibawa mengimbau nostalgia malam raya era 80-an melalui pelbagai lakonan semula yang cukup menarik seperti suasana takbir raya dan marhaban, aktiviti mengemas rumah, membakar lemang dan mengacau dodol secara bergotong-royong, serta persembahan buskers yang menghidupkan suasana klasik kampung menjelang Aidilfitri.
 
Program turut diserikan dengan pelbagai elemen budaya termasuk arak-arakan menyambut tetamu, persembahan Tarian Inang, suasana kanak-kanak bermain mercun serta paparan arca pelita dan ketupat gergasi yang menjadi simbol kegigihan komuniti dalam menjayakan pesta pelita ini.
 
Acara kemudiannya diteruskan dengan majlis ramah mesra dan jamuan makan, penyerahan duit raya kepada kanak-kanak, penyampaian cenderahati kepada panel juri, serta persembahan bunga api yang menambahkan lagi kemeriahan malam tersebut sebelum majlis berakhir dengan sesi bergambar dan bersurai.
 
Pesta Pelita Raya Pahang 2026 di Temerloh yang berlangsung semalam itu turut dihadiri Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, YH. Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli; Penyelaras DUN Kuala Semantan, YH. Tuan Mohd Azly Dato' Indera Hj Norzan; Pengurus Besar Tourism Pahang, Tuan Kamaruddin Ibrahim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, YH. Tuan Rizal Mustafa; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli serta barisan pimpinan setempat
Moh kita saksikan kemeriahan dekorasi dan hiasan pelita yang penuh kreativiti serta menggamit memori. Pesta Pelita Raya Pahang 2026 ini akan berlangsung sehingga Hari Raya Pertama Aidilfitri, melibatkan 11 daerah dan 19 buah kluster homestay di Negeri Pahang.
 
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada barisan panel juri yang sudi hadir menilai serta memeriahkan program ini. Semoga penyertaan dan usaha komuniti dalam menjayakan pesta pelita ini membuahkan hasil yang membanggakan dan Temerloh beroleh kejayaan dalam pertandingan Pesta Pelita Raya Pahang tahun ini.
 
Ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada Tourism Pahang selaku penganjur utama program ini serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Pesta Pelita Raya Pahang 2026.
 
a
a
a
A
1
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
JABATAN KORPORAT, KOMUNIKASI DAN PERHUBUNGAN AWAM