LAWATAN KERJA YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN TEMERLOH KE TAPAK PENTERNAKAN AYAM DI KUALA KRAU
12 Mac 2026 (Khamis) – Bermula jam 8.15 pagi tadi, Tuan Rizal bin Mustafa, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) telah mengadakan lawatan kerja ke sebuah tapak penternakan ayam di Kuala Krau susulan aduan penduduk berkaitan gangguan lalat serta bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitar.
Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan sebenar di lokasi serta mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkaitan bagi memastikan langkah penyelesaian yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak Majlis Perbandaran Temerloh.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Encik Danial bin Jamaludin, Pengarah Jabatan Khidmat Perbandaran dan Komuniti serta Sr. Yuzairy Hafiz bin Mohamad Yusuf, Pengarah Jabatan Korporat, Komunikasi dan Perhubungan Awam MPT bersama pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Temerloh.
Dalam lawatan tersebut, pemilik reban telah dimaklumkan mengenai keperluan untuk mengurus sisa ternakan serta kebersihan kawasan reban dengan lebih teratur bagi mengurangkan gangguan lalat kepada penduduk sekitar. Antara tindakan pembetulan yang dicadangkan termasuk meningkatkan kekerapan pembersihan kawasan reban, memastikan pengurusan najis ternakan dilaksanakan dengan lebih sistematik serta melaksanakan kerja-kerja sanitasi secara berkala bagi mengurangkan faktor tarikan lalat.
Selain itu, Unit Vektor Majlis Perbandaran Temerloh telah pun menjalankan kerja-kerja semburan kabus lalat (fogging) di lokasi sebagai langkah segera bagi membantu mengurangkan populasi lalat di kawasan perumahan berhampiran.
Majlis Perbandaran Temerloh sentiasa komited dalam menangani aduan rakyat serta memastikan kesejahteraan komuniti dan persekitaran yang bersih, selamat dan selesa untuk semua warga daerah Temerloh.





Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
Laman Web: http://www.mpt.gov.my/
JABATAN KORPORAT, KOMUNIKASI DAN PERHUBUNGAN AWAM
