MENU
PERJUMPAAN YANG DIPERTUA BERSAMA KAKITANGAN MAJLIS PERBANDARAN TEMERLOH
 
14 Januari 2026 (Rabu) - Sebentar tadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Tuan Rizal bin Mustafa, telah mengadakan Perjumpaan Bersama Kakitangan MPT sebagai platform komunikasi strategik bagi menyampaikan amanat, memperkukuh nilai perkhidmatan serta menyelaras hala tuju organisasi bagi tahun 2026.
 
Dalam amanatnya, Yang Dipertua menyatakan hasrat agar perhimpunan ini dapat dilaksanakan secara berkala setiap bulan sebagai medium mempererat hubungan antara pengurusan dan warga kerja.
 
Yang Dipertua turut merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga MPT serta mengucapkan tahniah kepada kakitangan yang telah ditawarkan jawatan tetap, di samping mengalu-alukan kehadiran pegawai dan kakitangan baharu yang menyertai perkhidmatan Majlis Perbandaran Temerloh.
 
Selain itu, semua kakitangan diseru agar sentiasa memelihara ukhwah, keharmonian dan sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakan setugas dengan mengamalkan prinsip “buang yang keruh, ambil yang jernih”, serta menetapkan azam baharu ke arah penambahbaikan diri dan organisasi. Bagi kakitangan baharu, Yang Dipertua menekankan kepentingan untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan kecemerlangan, menimba pengalaman daripada pegawai senior serta bersama-sama memastikan MPT kekal relevan, berdaya saing dan diyakini masyarakat.
 
Dalam aspek profesionalisme, kakitangan turut digalakkan membuat refleksi terhadap prestasi tahun sebelumnya. Yang Dipertua turut merakamkan tahniah dan penghargaan atas pencapaian cemerlang MPT sepanjang tahun lalu, termasuk penerimaan 15 anugerah dan pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan, antaranya Bandar Paling Bahagia 2025, Pensijilan Low Carbon City Challenge (1 Diamond), Low Carbon Office (1 Diamond), Pensijilan MS ISO, Audit Teknikal 5 Bintang, Pengiktirafan Smart City serta Penghargaan Bandar Mampan 2025 Temerloh.
 
Bagi tahun 2026, MPT menyasarkan peningkatan pencapaian melalui tadbir urus yang lebih berkesan, pelaksanaan mesyuarat yang tersusun serta pengamalan nilai teras perkhidmatan merangkumi integriti, kejujuran, kecekapan, profesionalisme, kebajikan dan ukhwah. Yang Dipertua turut menegaskan kepentingan untuk memulakan setiap tugas dengan niat yang baik, mengekalkan kecemerlangan serta memohon keberkatan dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.
 
1
1
1
1
1
 
Jangan lupa LIKE, FOLLOW dan SHARE !
Tiktok: @mptemerloh
Instagram: @majlisperbandarantemerloh
BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PEMBANGUNAN BELIA